ARTIKEL SEBELUM

20/11/15

Husam minta tunda tarikh

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sedia untuk bertemu Dewan Harian Pas bagi menjelaskan mengenai teguran yang dibuatnya terhadap pentadbiran di Kelantan.

Namun Adun Salor itu memohon tarikhnya ditunda kerana beliau kini sedang mendapatkan rawatan kesihatan di China.

“Saya menghargai kesediaan Dewan Harian Pas Pusat memanggil saya untuk menjelaskan teguran saya terhadap perjalanan kerajaan Kelantan.

"Memandangkan notis itu amat singkat, saya sangat menghargai jika SUA Pas dan Dewan Harian Pas Pusat dapat menangguhkan, sekurang kurangnya seminggu selepas saya berada dalam negara," ujar Husam dalam satu kenyataan.

Menurut Husam, beliau hanya akan pulang ke tanahair pada 22 November namun mungkin tarikh itu akan dilanjutkan bergantung kepada nasihat doktor yang merawatnya.

Sehubungan itu beliau meminta tarikh yang ditetapkan oleh Dewan Harian Pas itu ditunda ke tarikh lain.

"Ini untuk membolehkan masa dan keadaan yang lebih selesa bagi saya menyediakan apa-apa persiapan perlu," ujarnya.



Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan‎ semalam memaklumkan, Husam diminta memberi keterangan kepada Dewan Harian Pas pada 24 November depan.

Notis pemberitahuan tentang perkara itu telah dimaklumkan kepada Husam minggu lepas.

"Kita wajibkan dia (Husam) datang, terpulang kepada dia, notis pemberitahuan telah dimaklumkan kepadanya.

"Mesyuarat itu akan diadakan pada jam 12 tengah hari, di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, dalam kenyataan media sama, Husam turut mempertikaikan mengenai larangan debat di antara beliau dan bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

"Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga jam selepas persetujuan oleh Datuk Mustafa, seakan menunjukkan ada sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar. Juga tiadanya penyelarasan keputusan di kalangan pimpinan tertinggi Pas dibuat.

"Bukankah Datuk Mustafa adalah juga anggota Dewan Harian?," soal Husam.

Ujarnya, tindakan Pas memutuskan larangan debat itu hanya memburukkan lagi imej parti dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Atau persetujuan Datuk Mustafa hanya satu sandiwara semata-mata?

"Dengan itu, Datuk Mustafa tidak akan dikata orang segan dan enggan berdepan menafikan dakwaan saya?," tambahnya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud