ARTIKEL SEBELUM

27/10/15

Tidak mustahil Selangor ditadbir 2 pakatan pembangkang

Kerajaan Selangor boleh mempunyai 2 pakatan pembangkang serentak, kata PAS hari ini, sekali gus menegaskan pendirian parti Islam itu meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak mustahil kerajaan negeri itu ditadbir 2 pakatan, mengambil contoh ketika kewujudan parti Semangat 46 di Kelantan pada 1990.

"Dalam Semangat 46, kita ketika itu ada 2 pakatan. Ada pakatan antara Semangat 46 dan PAS daripada Angkatan Perpaduan Ummah untuk mentadbir Kelantan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.



Katanya, pada masa yang sama, Semangat 46 juga berada dalam gabungan pakatan pembangkang lain iaitu Gagasan Rakyat, yang tidak diwakili parti pembangkang di peringkat pusat seperti DAP.
"Perkara sama boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan, satu lagi Pakatan antara PAS dan PKR," kata Takiyuddin.

Pada masa sama, beliau berkata PAS masih mengekalkan hubungan baik dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR.

"Kita masih bersama. Tanpa kami, kerajaan negeri akan berkubur, ketika krisis peralihan menteri besar menyaksikan semua Exco DAP dipecat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dalam bentuk hubungan kerjasama antara PAS dan PKR, tanpa DAP.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim itu ditolak Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam.

www.themalaysianinsider.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud