KUALA LUMPUR - "Bagi saya kos pesawat sepanjang enam bulan sebanyak RM40.8 juta, itu menandakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang yang kuat bekerja.
Demikian respons Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos, ketika mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli di Parlimen hari ini, berhubung dakwaan Najib cuba menyembunyikan perbelanjaan jet ACJ320 yang diguna oleh Najib dianggarkan sebanyak RM40.8 juta.
Mengulas lanjut, Jamal berkata lagi banyak kos lagi besar tanggungjawab Najib terhadap rakyat dan negara.
"Beliau (Najib) bersungguh-sungguh bekerja untuk negara ini, tanggungjawab beliau besar," katanya kepada Sinar Online hari ini.
Dalam pada itu, Jamal meminta Rafizi agar menampilkan bukti sekiranya wujud salahlaku Perdana Menteri ketika menggunakan pesawat tersebut.
"Bawa sekali dokumen yang sah, jangan ia menjadi seperti dakwaan-dakwaan dahulu seperti kes cincin isteri Perdana Menteri yang dikatakan sebanyak RM 24 juta, tetapi akhirnya hanya fitnah kerana kata Rafizi dia hanya bergurau dalam isu itu.
"Oleh itu, jangan hanya pandai bercakap kosong, bawa sekali bukti," katanya.