ARTIKEL SEBELUM

30/08/15

Suspek serangan bom Bangkok ditahan

Suspek serangan bom Bangkok ditahan


BANGKOK - Polis Thailand hari ini telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek berkenaan.

Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.

Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.

Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.

Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.

Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara yang mengeluarkan pasport tersebut.

Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.

Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.

Taklimat itu berhenti secara tiba-tiba apabila seorang wartawan tempatan bertanya dalam bahasa Thai sama ada suspek yang ditahan oleh polis itu hanya sebagai kambing hitam.

Somyot dengan nada marah dan menyoal wartawan lelaki itu sama ada beliau seorang warga Thailand.

"Soalan anda benar-benar tidak membina...pergi dari sini. Saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak kisah tentang anda. Orang di sini begitu bersemangat ketika ini (atas penahanan suspek) tetapi anda menyoal sama ada kami menahan kambing hitam!," katanya.

Kemudian, Somyot berkata suspek tersebut bukan pengganas merentas sempadan tetapi melakukan perbuatan itu disebabkan marah terhadap sesuatu yang berlaku kepada kawan-kawannya.

Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud