ARTIKEL SEBELUM

9/07/15

Akaun bank PM di Ambank ditutup lebih awal



KUALA LUMPUR - Akaun bank milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak terlibat dalam arahan pembekuan pada 6 Julai kerana ia telah ditutup lebih awal.

Pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan dana disalurkan kepada akaun perdana menteri, hari ini berkata dua akaun Najib di bank itu telah ditutup pada 30 Ogos, 2013 dan 9 Mac 2015.

Bagaimanapun, pasukan petugas khas itu telah memperoleh dokumen bank berkaitan dengan dua akaun itu, menurutnya dalam satu kenyataan.

Arahan pembekuan dikeluarkan pada 6 Julai adalah terhadap enam akaun bank.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abdul Gani berkata semua dokumen siasatan yang diterima olehnya diberikan oleh pasukan petugas khas itu dan dengan itu tidak timbul isu pejabatnya menggunakan dokumen yang diterbitkan dalam Wall Street Journal atau tempat lain.

Menurut kenyataan itu, pasukan petugas khas menyerbu pejabat 1Malaysia Development Berhad di Menara 1MC di sini semalam (8 Julai), tiba pada 9.40 pagi dan melakukan pemeriksaan di premis itu sehingga 6.45 petang.

"Peguam Negara memaklumkan bahawa pasukan petugas khas itu memperoleh bahan-bahan diperlukan untuk siasatan termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, Buku Minit, penyata-penyata bank dan butiran bank yang lain, penyata-penyata penyelarasan, buku kira-kira, perjanjian perniagaan dan urusan pelaburan, dan fail-fail aktiviti tanggungjawab sosial korporat 1MDB.

"Pasukan itu juga merampas beberapa komputer note book," menurut kenyataan itu. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud