ARTIKEL SEBELUM

25/06/15

Tindakan akan diambil kepada media ‘uli fakta’ 1MDB

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada portal atas talian yang pernah "menguli fakta" tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada bekas pengarah PetroSaudi yang ditangkap di Thailand.

Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati maklumat yang ada pada Xavier Andre Justo yang ditahan pada Isnin lalu "diperoleh secara tidak benar".

"Banyak maklumat berkenaan diperoleh secara tidak benar dan faktanya juga diuli untuk memperlihatkan seolah-olah ada perbuatan di luar tataetika urus niaga dan perundangan.

"Menguli berita dan fakta ini jelas daripada kajian setakat ini ada niat tersirat yang buruk dilakukan pihak berkenaan.

"Ia dimuat turun dan dianalisis akhbar mingguan perniagaan di Malaysia dan portal berita atas talian," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Menurutnya lagi, beliau mempertimbang mengerah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis bagi bertindak ke atas media yang berkenaan.

Beliau turut menamakan mingguan The Edge sebagai mingguan perniagaan dimaksudkannya, dalam kenyataan akhbar yang diedar kepada media.

"KDN dimaklumkan bahawa Xavier Andrea Gusto merupakan individu yang menyalurkan maklumat yang tidak tepat kepada blog politik Sarawak Report sehingga mencetuskan tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB," sambil mendakwa The Edge memetik laporan Sarawak Report, katanya dalam kenyataan.

"Siasatan akan dilakukan terlebih dahulu bagi melihat akta yang bersesuaian bagi melakukan pendakwaan tetapi bagi akhbar mingguan perniagaan tentunya kami akan menggunakan Akta Penerbitan dan Percetakan (1984)," kata Zahid pada sidang medianya.

Namun, dakwaan yang dimaksudkannya itu akan dilakukan berdasarkan maklumat dari pihak berkuasa Thailand.

"Oleh kerana tangkapan itu dilakukan di Thailand maka tentu pihak berkuasa Thailand akan melakukan siasatan.

"Dan jika kita boleh guna pakai hasil siasatan pihak berkuasa Thailand bagi melakukan pendakwaan kelak maka, fakta-fakta itu akan digunakan polis dan pendakwa raya," katanya.

Sehingga kini, 1MDB belum pernah mengisytiharkan mana-mana dakwaan Sarawak Report atau akhbar The Edge terhadap mereka sebagai palsu.

The Malaysian Insider merupakan sebahagian daripada The Edge Media Group yang menerbitkan mingguan The Edge.

Zahid sebelum sidang media petang ini menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di KDN, Putrajaya dan mengagihkan bantuan kepada anak yatim.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud