Pemuda PKR hari ini mendesak semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menghentikan perselisihan antara satu sama lain dan segera kembali semula ke meja rundingan.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata ini bukan masa untuk menuduh dan menyalahkan mana-mana pihak terutamanya melalui media massa.
Beliau yang menganggap DAP tiada hak mengumumkan PR kini bubar berkata, sebarang langkah tergesa-gesa yang diambil akhirnya akan membunuh pakatan itu.
"Jika kita memilih untuk menghancurkan PR, bermakna kita memilih untuk membunuh aspirasi dan harapan seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Afif yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Pulau Pinang itu menolak pengisytiharan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang PR sudah berakhir.
Beliau bagaimanapun berkata gabungan itu masih wujud selagi diterima rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, PR bukan hak individu dan menggesa pemimpin tertinggi bersikap matang dan sedar akan harapan rakyat yang semakin terbeban dengan krisis ekonomi dan kepincangan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).
"Polisi dan dasar masih sama, yang boleh isytihar PR mati ialah rakyat dalam pilihan raya akan datang. Kalau rakyat tidak pilih kita dalam pilihan raya akan datang, maknanya kita mati," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu turut menolak cadangan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menubuhkan kerajaan gabungan bagi mengelakkan pembubaran DUN Selangor.
"Cadangan itu saya tidak nampak. Kalau hendak bergabung dengan Umno itu mustahil. Di Selangor, agenda PR sebagai asas pentadbiran perlu diteruskan," katanya.
Mengenai cadangan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ingin menyertai PR, beliau enggan mengulas lanjut namun menyifatkan hubungan PR dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu setakat ini baik.
Lim dalam kenyataan pada Selasa lalu mengisytiharkan PR sudah tidak lagi wujud ekoran muktamar tahunan PAS awal bulan ini yang menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.
Ia disusuli keesokannya dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kesal dengan tindakan DAP dan PAS yang dianggapnya tergesa-gesa.
Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika di Marang semalam menegaskan PR masih belum berkubur dan DAP tidak berhak membuat pengisytiharan sedemikian.