Exco pendidikan Kedah dan pihak polis menjelaskan, guru yang meminta anak muridnya minum air kencing sendiri sebenarnya cuma bergurau.
Exco itu Tajul Urus Mat Zain menjelaskan guru itu meminta murid-murid bukan Islam diminta supaya mengelak minum di depan murid Islam.
Katanya, guru itu juga berkata mereka boleh minum di luar kelas dan berseloroh meminta minum air paip “tapi jangan minum air kencing kamu pula” dalam tandas.
“Ucapan dan pesanan ini telah di salah faham oleh segelintir murid dan menjadi isu.
"Laporan polis telah dibuat oleh waris.
“Guru terbabit juga telah menerima ugutan melalui panggilan telefon sekolah dan telah membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.
Perhimpunan khas sekolah
Tajul juga menjelaskan bahawa pihak sekolah sudah pun membuat perhimpunan khas dengan semua murid pada pagi tadi dan membetulkan kenyataan guru itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Khalil Ariffin berkata kes itu cuma salah faham dan sudah selesai.
“Dia melawak. Dia cakap siapa nak minum juga pergi dalam tandas.
“Dia melawak saja, bukan kata serius,” katanya sambil berkata ia disalah tafsir.
Beliau juga berkata akan merakamkan kenyataan pengadu dan guru itu.