KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara Malaysia hari ini menafikan dakwaan yang tersebar meluas di media sosial kononnya bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kebebasan keluar masuk penjara.
Hal ini tercetus berikutan laporan beberapa media sosial berkenaan pengiringan Anwar bagi menghadiri penyiasatan oleh Jawatankuasa Tatatertib, Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara yang bertempat di Wisma Maran di sini pada 18 Jun lalu.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata pengiringan tersebut dilakukan setelah Komisioner Jeneral Penjara mempertimbangkan notis oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Peguambela dan Peguamcara berhubung aduan yang dibuat oleh Anwar di bawah Akta Profession Undang-Undang 1976.
“Anwar telah dikawal oleh pegawai penjara dengan kerjasama berterusan pihak polis sepanjang tempoh berada bersama jawatankuasa berkenaan di Wisma Maran.
“Bagaimanapun, kami tidak berupaya untuk mengawal sepenuhnya mana-mana pihak untuk mengambil gambar dan seterusnya menggunakan gambar tersebut bagi apa-apa maksud,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Supri turut menegaskan bahawa pengiringan Anwar ke wisma tersebut mematuhi peruntukan undang-undang dan bukan satu keistimewaan seperti digembar-gemburkan. -Bernama