ARTIKEL SEBELUM

19/06/15

Kemelut Pakatan: PAS terima qada, qadar Allah

Walaupun DAP mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud, namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, masih berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan parti tersebut.

"Kerjasama politik DAP dengan PAS akhirnya tidak dapat bertahan jua buat kali kedua. Dari sudut positifnya, hubungan PAS-DAP kali ini berlangsung lebih lama berbanding di zaman Barisan Alternatif selepas berehat selama tujuh tahun.

"Jika ada kali ketiga diharap kerjasama ini akan lebih panjang berbanding yang sebelumnya," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Pada 2001, DAP memutuskan hubungan dengan Barisan Alternatif berikutan cita-cita PAS yang ingin melaksanakan Negara Islam.

Selepas 14 tahun, perkara sama berlaku buat kali kedua.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga berkata PAS tetap kesal dengan serangan berterusan DAP terhadap presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta mendakwa mereka mahu bekerjasama dengan Umno.

Menurutnya, DAP sepatutnya menumpukan serangan terhadap Umno yang berkuasa di peringkat Persekutuan.

Biar sejarah nilai

Beliau juga berkata prinsip dan dasar parti akan terus menjadi panduan perjuangan PAS dan mereka menerima segala qada dan qadar Allah dengan hati terbuka.

"Tiada siapa yang menjangkakan kemenangan besar Umno pada 2004 merupakan pintu kepada kehilangan undi popularnya hari ini.

“Biarlah sejarah menilainya. Apapun, prinsip dan dasar parti akan terus menjadi kompas perjuangan PAS

"PAS akan terus istiqamah dan menerima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka. PAS kekal dengan kerjasama bersama PKR yang tidak pernah putus sejak penubuhannya," katanya lagi.

Semalam pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, masalah yang melumpuhkan Pakatan pada masa kini hanyalah untuk tempoh sementara.

Katanya, Pakatan belum mati tetapi hanya “pengsan”. Malah tambahnya, masalah yang timbul pada masa ini berpunca dari tindakan DAP yang meninggalkan Pakatan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud