PERMATANG PAUH - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada hari bekerja didakwa sebagai satu helah untuk menjejaskan majoriti undi PKR, hari ini.
Calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi kawasan itu mendakwa SPR sengaja menyulitkan pengundi Parlimen itu selepas cuti panjang minggu lalu.
"Ya memang (punca merosot) itu saya rasa ia membuatkan dengan motif itu kerana cuti panjang, jadi ada ramai yang sudah balik kampung, kalau nak balik itu satu kesulitan.
"Ini adalah satu helah sebab PRK Rompin sepatutnya dibuat selepas PRK Permatang Pauh dan kawasan itu kemudian," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Permatang Pauh di Dewan Perdana, IKBN Bukit Mertajam, Berapit, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kemerosotan jumlah keluar pada hari ini sehingga 74 peratus berbanding PRU13 yang mencecah 88.52 peratus.
PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 8,841 undi dengan memperolehi 30,316 undi manakala calon BN, Suhaimi Shabudin mendapat 21,475 undi, manakala undi rosak sebanyak 254.
Dua lagi pencabar Wan Azizah iaitu calon Bebas, Salleh Isahak dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman, masing-masing memperolehi sebanyak 367 dan 101 undi.
Walaupun jumlah keluar mengundi merosot berbanding PRU13, namun PKR berjaya menambah undi Melayu sehingga lima peratus.
Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail pada jam 10.15 malam ini.