ARTIKEL SEBELUM

7/05/15

Penentuan di tangan pengundi hari ini


Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh berakhir malam tadi dan seramai 71,252 pemilih layak untuk mengundi hari ini bagi memilih wakil rakyat mereka.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Namun saingan sebenar ialah antara Suhaimi, yang juga setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, dan Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR.

Sejak hari penamaan calon pada 25 April lepas, BN dan PKR bersungguh-sungguh melaksanakan kempen masing-masing bagi menambat hati pengundi.

Bagi PKR, Permatang Pauh adalah kubu kuat bekas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun ekoran sabitan tuduhan liwat.

BN pula mahukan kemenangan di Permatang Pauh bagi membawa perubahan di kawasan itu, yakni pembangunan yang diperlukan para penduduknya.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidddin Yassin dalam sidang media pada hari penamaan calon berkata cabaran yang perlu dilalui BN pada PRK Parlimen Permatang Pauh agak sukar dan diibaratkan seperti 'mendaki gunung'.

Katanya, tidak mustahil Suhaimi mencipta kemenangan kerana beliau adalah anak tempatan yang hatinya hanya di Permatang Pauh, sedangkan Dr Wan Azizah adalah orang luar yang menjadi "wakil suami".

PKR dan Dr Wan Azizah pula banyak membangkitkan soal keadilan untuk Anwar selain membangkitkan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sejak hari penamaan calon, BN lebih banyak 'menyerang' manakala PKR dan Pakatan Rakyat 'bertahan' untuk menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh BN.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, isu pelaksanaan GST adalah satu isu nasional yang kesannya mungkin dirasai di semua peringkat.

BN perlu menerima hakikat bahawa isu GST boleh mempengaruhi pengundi di kawasan Permatang Pauh jika tidak ditangani dengan baik.

"Ada kesannya (GST). Parlimen Permatang Pauh boleh dikira satu kawasan bandar dan isu ekonomi agak kuat berbanding isu-isu lain," katanya.

Pusat mengundi dibuka

Sementara itu, 24 pusat mengundi dengan 130 saluran untuk PRK Parlimen Permatang dibuka mulai 8 pagi ini. Pusat mengundi itu akan ditutup pada 5 petang.

Calon BN Suhaimi Sabudin mengundi di SMK Guar Perahu pukul 8.10 pagi.

Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi telah diadakan pada Ahad lepas di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80 peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.

"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei, 2013," katanya.

Beliau berkata keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh dijangka diketahui seawal 9 malam.

Proses pengiraan undi PRK ini akan dilakukan di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada 5 petang ini.

Hari ini merupakan cuti peristiwa di Pulau Pinang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud