ARTIKEL SEBELUM

12/05/15

Pelajar maut disyaki dipukul senior

Seorang pelajar kolej vokasional di Bachok maut disyaki dipukul pelajar senior di bilik asrama.

Dalam kejadian tengah malam tadi, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan seorang pelajar berusia 17 tahun yang kemudian bertindak memukulnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata Mohamad Nur Akram dilapor tidak sedarkan diri selepas disepak pelajar senior terbabit.

"Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan tetapi masih tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke sebuah klinik kesihatan di Bachok dan disahkan meninggal pada pukul 1.30 pagi tadi.

"Pelajar junior itu didakwa tidak menghormati pelajar senior terbabit sehingga menyebabkan pelajar senior itu merasa marah lalu memukul mangsa," katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kecederaan di leher akibat terkena pukulan kuat.

"Mangsa didapati putus saluran darah di bahagian otak akibat terkena sepakan maut dari suspek. Suspek dipercayai mempunyai ilmu mempertahankan diri seperti silat atau tomoi," katanya.

Beliau berkata suspek yang berasal dari Melor telah ditahan dan akan direman esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa disemadikan di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud