Sekumpulan kira-kira 20 individu yang mendakwa diri mereka ahli PKR Selangor mengadakan sidang media di Pulau Pinang hari ini bagi membantah pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Menamakan diri mereka sebagai Suara Akar Umbi Keadilan (SAUK), kumpulan yang diketuai Mazli Saring mengatakan kehadiran mereka adalah untuk menyedarkan pengundi Permatang Pauh tentang tindakan Dr Wan Azizah pada tahun 2008 yang meletak jawatan sebagai ahli Parlimen atas alasan mahu menjaga anak dan cucu.
Namun katanya Dr Wan Azizah bertanding dalam PRK Kajang pada tahun 2014 tetapi gagal memberikan khidmat terbaik dan kini sibuk pula bertanding di Permatang Pauh.
"Kami masih sayangkan parti. Kenapa begini jadinya?
"Presiden sepatutnya kempen dalam PKR untuk wujudkan perpaduan dalam parti.
"Bukan maksud kami untuk suruh tolak Wan Azizah tetapi kenapa selepas kes Anwar, Wan Azizah datang semula untuk bertanding," katanya yang mengaku terlibat dalam kempen PRK 2008 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh.
Mazli sebelum ini mengetuai NGO pro- Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikenali sebagai Pakatan anak-anak Selangor menyokong menteri besar Selangor (Pasmeb) sewaktu kemelut berlangsung.
Mazli bagaimanapun menafikan kempen mereka kali ini mempunyai kaitan dengan Pasmeb.
Beliau bersama dua orang lagi 'anggota jawatankuasa' SAUK mengenakan kaca mata hitam sewaktu sidang media berlangsung.
Di belakang mereka pula terdapat beberapa individu memegang poster dengan lambang PKR dan wajah personaliti PKR.
Di antara mesej yang tertulis pada poster itu adalah "Anwar ke Mahkamah Syariah Bukti PKR Sokong Hudud", "Tun M dan Azmin Perlu Digabungkan", dan "TQ Rafizi dan Nurul Izzah kerana sokong hudud".