ARTIKEL SEBELUM

22/05/15

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San meminta maaf kepada Menteri Besar


SHAH ALAM – Adun Kampung Tunku, Lau Weng San meminta maaf kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berhubung kekeliruan kenyataan yang dikeluarkan bersifat membandingkan pentadbiran Selangor kini dengan sebelumnya.

Katanya, beliau tidak bermaksud untuk membandingkan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap hanya kerana jawapan diberikan lebih lengkap.

Sebaliknya Setiausaha DAP Selangor itu memaklumkan pihaknya terkejut dengan laporan portal yang melaporkan kenyataannya sebagai berkata “DAP akui pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap” yang disiarkan pada 19 Mei.

“Pertama sekali, laporan ini adalah tidak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan parti DAP.

“Kedua, saya mengatakan dalam sidang media berkenaan ialah saya pernah membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang Dun pada Mac 2012 dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Weng San menegaskan, perkataan “lengkap” tidak boleh disamaertikan dengan maksud atau perkataan “cekap”.

“Lebih-lebih lagi, saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.

“Saya memohon maaf sekiranya kesilapan ini telah menyebabkan perselisihan faham yang tidak diperlukan. Malah saya turut berasa kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak yang berkenaan untuk memperbetulkan kesilapan ini secepat mungkin,” katanya.

Susulan kontroversi itu, menteri besar telah memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada menteri besar dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangkitkan.

“Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran PR merupakan mercu tanda yang perlu dipertahankan setiap masa,” katanya.

Menurut Weng San, beliau telah menerima jawapan bertulis yang diminta untuk menulis kepada Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan jawapan tersebut.

“Saya telah berbuat seperti diminta dan ditekankan sekali lagi bahawa memang Pejabat Menteri Besar ada menjawab surat saya di mana perkara itu telah diajukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Hal demikian, saya akan menunggu jawapan daripada pegawai-pegawai yang berkenaan,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud