Sultan Sharafuddin Idris Shah membidas kerajaan negeri Selangor kerana menggunakan slogan 'Kita Lawan' mewakili kontinjen negeri itu untuk beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak tahun depan.
Sultan Selangor bertitah, slogan itu diguna pakai oleh salah sebuah parti politik dan baginda tidak setuju dengan sebarang cubaan mencemari bidang sukan dengan elemen politik atau perkauman.
Disebabkan itu, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) diarahkan mencari slogan lain yang tidak kontroversi dan boleh membawa nama baik kepada wakil atlet dan pasukan ke Sukma.
"Beta tidak berkenan dengan slogan Kontinjen Sukan Selangor 'Kita Lawan' untuk Sukma 2016 sebagaimana yang dimaklumkan di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dan disiarkan media massa.
"Ini kerana, slogan 'Kita Lawan' diguna pakai oleh sebuah parti politik.
"Justeru itu, Beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik dalam sukan," titahnya pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor Darul Ehsan di Subang Jaya, hari ini.
Titahnya, badan sukan, atlet dan penyokong perlu mengenepikan fahaman politik kerana semangat sukan tidak sepatutnya dicemari dengan unsur politik atau perkauman.
Sukan, katanya, ialah aktiviti yang dijadikan platform memupuk perpaduan kaum dan tidak hanya dikhaskan kepada satu bangsa atau kaum sahaja.
Baginda juga menitahkan supaya politik tidak dibawa masuk ke dalam pentadbiran sukan.
Penggunaan slogan itu diumumkan Exco Pembangunan Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari bulan lalu.
#KitaLawan merupakan nama yang digunakan dalam kempen PR dalam usaha membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan.
Ia mengajak rakyat turun ke jalanan sejak bulan Februari lalu dan merancang mengadakan himpunan besar-besaran pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur, membantah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Pada Sukma 2013, Selangor menjuarai kejohanan itu menggunakan tema 'Kali Inilah', seakan tema 'Ini Kalilah' yang digunakan PR semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Namun, baginda menegur kedudukan Selangor yang jatuh merosot di tangga ke-4 Sukma tahun lalu.
Prestasi pasukan bola sepak titahnya, juga merosot, apabila gagal merebut Piala Malaysia pada tahun kebelakangan ini, malah tidak sampai ke peringkat akhir.
"Kerajaan Negeri Selangor banyak menyediakan kemudahan sukan, sama ada 'indoor' atau 'outdoor,' di setiap daerah.
"Ini termasuklah kemudahan bagi sukan bola sepak dan badminton yang merupakan sukan popular di kalangan rakyat dan perkembangannya diikuti seluruh lapisan masyarakat.
"Maka atlet dan pasukan yang mewakili negeri Selangor sepatutnya menjadi juara di setiap kejohanan sukan, tetapi mengapa perkara tersebut tidak berlaku?" soal baginda.
Baginda bimbang pasukan negeri akan berada di zaman kemunduran jika perkara tersebut tidak ditangani dengan baik.
Baginda turut menegur pentadbiran dan pengurusan kelab serta persatuan sukan Selangor yang menghadapi masalah dalaman sehingga mengakibatkan prestasi sukan menjadi mundur.
Titahnya, walaupun Selangor mencapai tahap negeri maju, tetapi bidang sukannya semakin merosot dan mundur serta tidak mengikuti kemajuan yang dicapai negeri.
Sultan Sharafuddin juga membidas masalah pengurusan kewangan persatuan sukan yang menurutnya kurang mempunyai perancangan jangka panjang dan tiada peruntukan kewangan yang seimbang.
"Jika keadaan yang negatif ini berterusan, ia akan melemahkan semangat para atlet dan pemain di mana akhirnya akan menjejaskan prestasi mereka.
"Oleh itu beta berharap, para pengurus dan pegawai sukan hendaklah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan bagi memastikan kegemilangan sukan negeri ini dikekalkan.
"Beta suka mengingatkan kepada pegawai persatuan supaya tidak bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan hasad dengki dan cuba menjatuhkan antara satu sama lain," katanya.TMI