ARTIKEL SEBELUM

10/04/15

Penamaan calon PRK Rompin 22 April, undi 5 Mei

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh PRK P091 Rompin, Pahang selepas penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis meninggal dunia akibat kemalangan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan kerusi milik BN itu pada 7 April lalu.

"SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR pada 5 Mei 2015 bagi mengisi kekosongam kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Allahyarham Jamaluddin meninggal dunia pada 4 April lalu kerana terlibat dalam kemalangan helikopter yang terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih selepas pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, SPR telah menetapkan 22 April ini sebagai tarikh penamaan calon manakala tarikh pengundian awal pula ialah pada 30 April.

"Daftar pemilih pilihan raya bagi bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 20 April ini.

"Para pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web SPR di www.spr.gov.my mulai 20 April ini," ujarnya.

Beliau berkata lagi, PRK P091 Rompin akan menggunakan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

"Sebanyak 42 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian. Bagi pusat pengundian awal, SPR akan menggunakan empat lokasi iaitu Dewan Seri Ibam, Skuadron 322 TUDM, Bukit Abam; Bilik Mesyuarat, Balai Polis Muadzam Shah; Bilik Rehat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan Bilik Mesyuarat, Balai Polis Tekek, Pulau Tioman," jelasnya

Katanya lagi PRK P091 Rompin akan melibatkan perbelanjaan urusan pengundian sebanyak RM1.9 juta dengan melibatkan 35 sekolah dan tiga balai raya serta dewan yang mengandungi 119 saluran tempat mengundi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud