ARTIKEL SEBELUM

12/04/15

Polis tahan Adun dan aktivis anti GST di Johor Baru

Polis tahan 4 peserta himpunan anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) termasuk 2 Ahli Dewan Undangan Negeri di Johor Baru, petang tadi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 April, 2015.


Polis bertindak menahan 4 peserta himpunan anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berhampiran Hotel Tropical Inn, Johor Baru sekitar jam 6.40 petang ini.

Mereka terdiri daripada 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) – Jimmy Puah (Bukit Batu) dan Tan Hong Pin (Mengkibol) serta seorang pembantu Puah, Jimmy Tan dan seorang aktivis anti GST.

Penahanan itu disahkan sendiri aktivis anti GST itu, Sidiqin Omar, yang kini berada di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, Johor Baru.



Sidiqin berkata, anggota polis yang menahannya memaklumkan mereka ditahan bagi "membantu siasatan dan memberi keterangan" berkaitan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Setakat ini, katanya, polis meluangkan masa selama 20 minit mengambil keterangannya dan yang lain mengenai butiran seperti nama penuh, alamat rumah dan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau belum pasti jika mereka akan dikehendaki bermalam di lokap.

"Kami masih menunggu pegawai penyiasat kes ini memberi maklumat selanjutnya," kata Sidiqin kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Hassan Karim akan bertindak sebagai peguam mewakili keempat-empat yang sedang ditahan.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pemuda PKR Johor Akmal Nasir turut memaklumkan polis sedang mencarinya untuk turut ditahan.

"Polis masih belum menghubungi saya dan menurut mereka yang ditahan, nama saya disebut-sebut sebagai orang ke-5 yang akan ditahan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau kini dalam perjalanan ke Batu Pahat untuk mempengerusikan satu mesyuarat PKR.

Himpunan anti-GST di Johor Baru hari ini adalah sebahagian daripada agenda siri himpunan #KitaLawan yang pada mulanya bertujuan membantah pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Himpunan tersebut diadakan bagi merancakkan suasana dan membina momentum menjelang himpunan besar-besaran anti GST #KitaLawan di Kuala Lumpur pada 1 Mei ini.

themalaysianinsider.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud