SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh akan menyaksikan pertembungan calon wanita PKR menentang calon BN pada 7 Mei ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), G Manivannan berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan oleh Biro Politik pada Selasa depan.
“Buat masa sekarang, sudah ada dua nama diputuskan, namun keputusan mengenai calon tersebut akan dimuktamad dan diumumkan pada Selasa ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.
Menurutnya lagi, perkara tersebut akan diumum menerusi sidang media yang akan diadakan di Permatang Pauh.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai calon tersebut.
“Ada dua nama.. (Keputusan tersebut) akan diberitahu pada Selasa. Sabar..” katanya lagi.
PKR sebelum ini menjamin memilih calon berkredibiliti tinggi untuk mewakili PKR di PRK Permatang Pauh dan Rompin.
Dua nama yang disebut-sebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Nuha Anwar.
Sementara itu, Manivannan berkata, pihaknya telah pun mengatur strategi untuk memastikan kemenangan di PRK tersebut.