ARTIKEL SEBELUM

11/03/15

Tuan Ibrahim tolak pencalonan sebagai presiden PAS

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menolak pencalonan beliau sebagai calon alternatif kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dibuat PAS Kota Baru semalam.

Bagaimanapun, naib presiden PAS itu menyifatkan pencalonan itu membuktikan kesuburan demokrasi dalam PAS, meskipun seringkali parti dipimpin Hadi itu diserang sebaliknya.

Menyifatkan pencalonan itu satu kejutan, beliau berkata: "Seperti yang saya katakan kepada para wartawan yang bertanyakan hal ini hari ini: 'Kalau Datuk Husam (Musa) berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Hadi, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Hadi dari segi kepimpinan'."

Beliau berkata, dalam sejarah kepimpinan PAS, jawatan presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya, di era kepimpinan ulama.

"Saya melihat alangkah manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulama, seperti yang dinyatakan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, untuk terus mengekalkan budaya tersebut," katanya merujuk kepada Yang Dipertua PAS Kota Baru.

Tuan Ibrahim berkata, PAS mencapai zaman paling gemilangnya di bawah kepimpinan Hadi sementara di peringkat antarabangsa pula, Kesatuan Ulama Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua.

"Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan Hadi di dalam PAS," katanya.

Beliau juga menegaskan, dalam PAS, jawatan bukan sesuatu yang menjadi rebutan sebagaimana dalam parti lain.

"Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat' (berlumba melakukan kebaikan)," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PAS kawasan Kota Baru atas kepercayaan yang diberi.

Namun katanya, beliau tidak dapat menerima pencalonan tersebut kerana beliau akan terus mendokong Hadi sebagai presiden PAS dan membantunya.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu,” katanya sebagai tanda menghormati Hadi sebagai pemimpin nombor satu parti Islam itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud