Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini menyuarakan sokongan terhadap perlaksanaan hudud di Kelantan, lapor Sinar Harian online.
Ia melaporkan baginda menzahirkan hasrat tersebut ketika bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan ke-13 hari ini.
"Beta difahamkan bahawa kerajaan negeri Kelantan berhasrat untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian Ahli Parlimen bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76A1 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
"Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak. Insya-Allah," titah Baginda dalam laporan Sinar Harian online itu.
Menurut laporan itu lagi, selain menyentuh mengenai hudud, baginda juga mengharapkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi membina rumah kekal untuk mangsa banjir perlu diteruskan dan dipertingkatkan.
"Beta harap rumah-rumah itu dapat disiapkan dalam kadar yang sesuai supaya kehidupan mereka kembali normal," titah baginda lagi dalam laporan tersebut.
Sementara itu, laporan tersebut juga memetik Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Amar menganggap titah Sultan Kelantan sebagai pembakar semangat untuk merealisasikan hukum hudud di negeri ini.- mk