Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan saman fitnah terhadap Majlis Peguam Malaysia dan tiga yang lain kerana cuba membincangkan kelakuannya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) majlis itu dua minggu lalu, kata peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin.
"Ya, anak guam saya memfailkan saman fitnah sebagai tindakan terhadap defendan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Shafee memfailkan saman itu dan satu injunksi menghalang Majlis Peguam, bekas Presiden Christopher Leong, peguam Tommy Thomas dan Tan Sri VC George pada 12 Mac.
Shafee memperoleh injunksi ex-parte itu pada hari berikutnya daripada hakim Datuk Asmabi Mohamad bagi menghentikan usul difailkan Thomas dan disokong George yang akan dibincangkan pada AGM 14 Mac.
Mahkamah akan mendengar permohonan hari ini bagi mengetepikan injunksi Shafee itu yang menghentikan perbincangan mengenai kelakuan peguam kanan itu ketika mengambil bahagian dalam road show mengenai perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Leong dan Majlis Peguam diwakili Lambert Rasa-Ratnam, sementara Datuk Ambiga Sreenevasan akan mewakili Thomas, dan Porres Royen untuk George.
Thomas dan George, dua anggota kanan Majlis Peguam, pada AGM itu menggesa majlis itu mengambil tindakan terhadap Shafee berhubung kelakuannya susulan sabitan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.