ARTIKEL SEBELUM

4/03/15

Azilah, Sirul tidak cabar saman RM100 juta bapa Altantuya, kata peguam

Bekas komando polis Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tidak akan bertindak balas terhadap saman RM100 juta yang difailkan bapa mangsa.

Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah, dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul, semasa perbicaraan jenayah, berkata mereka masih belum menerima sebarang arahan daripada mereka berdua berhubung saman sivil itu.

"Saya menulis surat kepada firma guaman (Karpal & Co) memaklumkan mereka yang saya tidak menerima arahan untuk bertindak bagi pihak Azilah," kata Hazman.


Kamarul memberikan jawapan yang sama apabila ditanya sama ada beliau akan membela diri dalam saman yang difailkan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.

Azilah kini dikurung bersendirian di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan mereka.

Sirul berlepas ke Australia sebelum mahkamah tertinggi itu menyampaikan keputusan akhir tetapi ditangkap di Queensland pada 20 Januari dan kini ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney susulan amaran merah dikeluarkan Interpol terhadapnya.

Sementara itu, peguam Ramkarpal yang mewakili Setev berkata, mendapatkan penghakiman ingkar ialah satu pilihan yang ada pada anak guamnya.

Setev memfailkan saman itu pada 2007, setahun selepas anak perempuannya yang ketika itu berusia 28 tahun, dibunuh.

Kedua-dua anggota polis tidak membela diri, tidak seperti kerajaan Malaysia dan kekasih Altantuya, Abdul Razak Baginda.

Setev memohon ganti rugi bagi "penderitaan, kesedihan, dan penderitaan fizikal dan mental".

Beliau memfailkan saman itu bagi pihak isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan dua cucu mereka, Mungunsha Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, yang masih kecil.

Pasangan suami isteri itu merupakan penjaga anak-anak Altantuya sekarang. Anak keduanya mengidap penyakit yang memerlukan rawatan dengan kos yang mahal.

Saman itu sebelum ini ditangguhkan kerana Mahkamah Tinggi mahukan perbicaraan jenayah diselesaikan dahulu.

Razak Baginda, sekutu rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini didakwa terlibat dalam kes itu namun dibebaskan kemudiannya.

Kerajaan memfailkan pembelaan dan berkata mereka tidak bertanggungjawab kerana dua bekas anggota polis itu melakukan tindakan berkenaan bersendirian.

Razak Baginda sementara itu menafikan mengetahui berkenaan pembunuhan itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tun Ariffin Zakaria pada 13 Januari menjatuhkan hukuman mati terhadap dua bekas anggota polis itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang mengeluarkan penghakiman berkata pendakwaan membuktikan kesnya tanpa bukti yang diragui.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud