Kementerian Pendidikan hari ini menafikan penyebaran berita palsu di media sosial berhubung penangguhan permulaan sesi persekolahan 2015 selama sebulan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata penangguhan itu hanyalah selama seminggu.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor ialah 11 Januari (Ahad) dan 12 Januari (Isnin) bagi negeri-negeri lain.
"Kementerian Pendidikan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang menyebar berita palsu ini," katanya.
Khair turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang berita yang disebarkan melalui media sosial.
Mereka sebaliknya boleh merujuk kepada laman-laman berita rasmi atau menghubungi terus Kementerian Pendidikan, katanya.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan Kementerian Pendidikan bersetuju menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 selama seminggu dari tarikh asal iaitu 4 dan 5 Januari 2015 mengikut negeri-negeri berkaitan, susulan bencana banjir.
- Bernama