ARTIKEL SEBELUM

6/01/15

PERKASA pertikai surat Zahid pada FBI

 

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA mempersoalkan surat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bagi kes Paul Phua Wen Seng.

Dalam kenyataan medianya hari ini, PERKASA turut mempersoalkan kandungan surat tersebut yang dilihat cuba membebaskan Phua, yang didakwa seorang 'raja judi', dengan pendekatan diplomatik.

Sehubungan itu, Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti PERKASA, Azrul Akmal Saharudin berkata, sekiranya benar Zahid (kanan) cuba untuk membebaskan Phua, ia merupakan pengkhianatan kepada keselamatan negara.

Ini kerana, katanya, perkara itu telah merosakkan integriti dan imej baik negara yang selama ini dijaga oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Persoalan yang timbul hasil daripada apa yang difahamkan, adakah Zahid sudah hilang integriti sehingga sanggup menulis surat berbentuk sokongan untuk melepaskan seorang penjenayah yang didakwa di luar negara? ” katanya.

"Perkara ini lebih besar kerana ia melibatkan unsur salah guna kuasa serta mempunyai unsur rasuah dan yang paling jijik sekali, kedua-dua unsur ini digunakan untuk melepaskan seorang penjenayah yang berpotensi menjadi ancaman kepada negara yang disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap serta perjudian antarabangsa.”

Sudah rujuk IGP?

Azrul berkata, PERKASA ingin mendapatkan penjelasan daripada Zahid sama ada Ahli Parlimen Bagan Datoh itu memaklumkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terlebih dahulu sebelum menghantar surat tersebut.

Beliau turut mempersoalkan sama ada isi kandungan surat itu diketahui Najib dan dirujuk kepada peguam negara terlebih dahulu.

"Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh Zahid untuk merungkai persepsi negatif yang terbina di kalangan masyarakat.

“Atau, jika tidak, rakyat akan menghukumnya dengan persepsi-persepsi negatif ini," katanya lagi.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan Zahid pada 3 Januari sebagai enggan mengulas perkara itu ketika ditanya pemberita di Putrajaya.

Katanya, beliau akan membuat sidang media berkaitan perkara itu pada masa yang lain.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud