ARTIKEL SEBELUM

7/01/15

Pelawak dan pelakon Zizan bersedia hadapi perbicaraan kes saman

 

KUALA LUMPUR: Dua saman difailkan terhadap pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak oleh pembantu peribadinya berhubung pembekuan akaun syarikat dan pelanggaran perjanjian kontrak akan diteruskan melalui perbicaraan selepas proses mediasi menyelesaikan saman itu di luar mahkamah gagal.

Zizan, 31, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak ketika ditemui pemberita berkata beliau bersedia menghadapi perbicaraan kes itu dan berharap peminat mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya tidak buat apa-apa. Saya yang disaman dan saya bersedia untuk perbicaraan dan kes ini hanya melibatkan isu syarikat," katanya selepas proses mediasi di hadapan Hakim Zainal L. Salleh di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur, Selasa.

Peguam Harjit Sandhu yang mewakili plaintif, Marina Juki, memberitahu pemberita bahawa proses mediasi bagi kedua-dua saman itu gagal selepas kedua-dua pihak

 tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Harjit berkata mahkamah menetapkan November ini untuk perbicaraan kes saman berhubung pembekuan akaun syarikat di hadapan Hakim Datuk John Louis O'Hara manakala, Rabu, bagi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Sivil untuk kes saman berhubung pelanggaran kontrak.

Pada 30 Sept tahun lepas, Marina, 31, memfailkan saman terhadap Zizan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd untuk satu tempoh yang lama.

Wanita itu mendakwa akibatnya beliau menanggung kerugian besar kerana artis-artis di bawah naungan syarikat Wire Fame tidak berminat lagi menyambung kontrak kerana pembekuan akaun syarikat itu menunjukkan syarikat itu bermasalah.

Dalam saman itu beliau menamakan Maybank Islamic Berhad, Zizan dan syarikat Wire Fame sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 5 Nov tahun lepas, Marina memfailkan saman kedua di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen Sivil terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan plaintif (Marina) pada 3 Mei 2011 iaitu Zizan telah bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi dan perjanjian itu untuk tempoh empat tahun dan akan tamat pada 2 Mei 2015.

Marina dalam pernyataan tuntutan berkata bagaimanapun pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan kini berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.

Marina mendakwa akibat pelanggaran perjanjian itu beliau menanggung kerugian teruk, oleh itu beliau memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud