KUALA LUMPUR - Pemuda Pas akan membina rumah bernilai RM37,000 percuma buat mangsa banjir di Kelantan.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, program dinamakan Projek Perumahan Rakyat Budiman itu bertujuan membantu mangsa berkelayakan yang hilang tempat tinggal selepas bencana buruk itu.
“Syaratnya ialah mereka perlulah warganegara Malaysia, memiliki tanah sendiri, rumah yang sudah tidak boleh dibaik pulih dan isi rumah berpendapatan RM1,000 sebulan dan ke bawah.
“Rumah ini mempunyai tiga bilik tidur, dapur, ruang tamu dan satu bilik air. Ia mempunyai konsep sama seperti rumah dhuafa yang dibina oleh Kerajaan Kelantan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.