Penyelam misi mencari dan menyelamat Indonesia hari ini menemui kotak hitam milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa bersama 162 penumpang dan anak kapal, kata Kementerian Pengangkutan Indonesia.
Bagaimanapun, menurut laporan AFP, Pegawai Kanan kementerian itu, Tonny Budiono berkata mereka masih gagal mengeluarkan kotak hitam itu kerana ia tersekat di bawah serpihan bahagian utama pesawat berkenaan.
"Penyelam tentera laut dari kapal KN Jadayat berjaya menemui peralatan yang amat penting, iaitu kotak hitam pesawat AirAsia QZ8501 pada kedalaman antara 30 ke 32 meter di dasar laut," katanya dalam satu kenyataan di Jakarta.
Penyelam pada Isnin akan cuba memindahkan kedudukan serpihan pesawat itu supaya boleh mengangkat kotak hitam itu ke permukaan.
"Bagaimanapun sekiranya usaha ini tidak berjaya, pasukan itu akan mengangkatnya menggunakan kaedah yang sama seperti dalam kes ekor pesawat, iaitu menggunakan belon terapung," kata Budiono.
Selepas dua minggu pencarian pesawat yang terhempas akibat dipercayai mengalami cuaca ribut pada 28 Disember, pihak berkuasa Indonesia terdahulu hari ini melahirkan harapan menemui kotak hitam itu selepas tiga kapal mengesan isyarat bunyi ping yang kuat dari dasar laut.
Isyarat itu diterima di kawasan sekitar 1km dari lokasi ekor pesawat Airbus 320-200 itu berjaya diangkat keluar pada Sabtu, menurut Panglima Tentera Laut Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Selain Indonesia, Malaysia dan Australia turut terlibat dalam operasi pencarian pesawat yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura itu.
Kotak hitam itu dianggap penting dalam usaha pencarian kerana ia merakamkan data dan maklumat penting berhubung komunikasi terakhir antara juruterbang dengan pusat kawalan trafik udara. –