ARTIKEL SEBELUM

18/01/15

Bila minyak rendah dan ringgit menjunam

Pada 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi waktu-waktu sukar.

Ini kerana kita sedang berhadapan dengan hentakan berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di samping penyusutan nilai Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia menyusut sebanyak 53 peratus berbanding tahun lepas, yakni daripada purata AS$108 setong pada Januari 2014 kepada AS$51 secara purata bagi bulan Januari 2015.

Nilai Ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, mengesampingkan nilai Yen. Ia menyusut kepada RM3.55 untuk setiap AS$1daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit menyusut hampir 8.3 peratus.

Benar, matawang Asia lain turut menyusut dan terkesan ke atas dolar Amerika Syarikat, tetapi matawang kita jatuh hampir dua kali ganda jika dibandingkan dengan dolar Taiwan dan dolar Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding dolar Amerika Syarikat.

Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM2,300 satu tan.

Dampak pada hasil negara

Pendapatan daripada minyak dan gas membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan. Belanjawan Persekutuan 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober tahun lepas berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara AS$100 ke AS$105 setong.

Malah sebelum penyusutan ke tahap semasa, Petronas memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada anggaran purata AS$70 ke AS$75, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus.

Ini bermakna pengurangan sebanyak RM19.4 bilion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM242 bilion ke atas unjuran belanjawan 2015.

Kini, ketika harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas pendapatan negara?

Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana yang dilapor oleh Maybank Research dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan pendapatan sebanyak RM8.4 bilion akan melangkaui penjimatan subsidi dan mengakibatkan defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya seperti sasaran 3 peratus untuk 2015.

Menurut Goldman Sachs dan Morgan Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung antara AS$40 ke AS$50 pada tahun 2015. Ini bermaksud kesan ke atas pendapatan kerajaan dan defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis memberi peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah sehingga 5 peratus. Ini akan berlanjutan sekiranya nilai ringgit Malaysia terus menyusut dan harga minyak sawit mentah terus jatuh.

Dari segi pelaburan ekuiti, menurut Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA), Malaysia mencatatkan prestasi pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014. Meskipun bursa saham Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan positif, bursa saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.

Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran keluar modal asing daripada kedua-dua pasaran bon ringgit (45 peratus daripada keseluruhan Sekuriti Kerajaan Malaysia [MGS] dan ekuiti).

Tarikan pasaran yang lemah serta ketidaktentuan fiskal akan mendorong ringgit menyusut ke tahap terendah dalam sejarah serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos pembiayaan (nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus).

Apa harus dilakukan?

Pertama sekali, korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat membentangkan dalam belanjawan bayangan Pakatan 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu menjimatkan hampir RM20 bilion, bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran KDNK.

Kedua, kita harus menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang diselimuti melalui proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap. Kerajaan perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk bawah hamparan luar kunci kira-kira.

Tiada sebarang alternatif kepada tata kelola yang baik selain daripada maklumat yang benar dan telus berhubung kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan dibebani skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.

Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera melibatkan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, para ekonomis, pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk memantau harga komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang konsensus dicapai.

Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud keperluan memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.

Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti Norway (yang mempunyai tata kelola pengurusan dan pentadbiran yang baik) juga berada dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.

Diakui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Sungguhpun begitu, kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara.

Di sinilah kerajaan gagal dan terus gagal meskipun Pakatan berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk bertransformasi?

Pengajaran dari banjir

Inilah sikap yang sama yang mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru ini. Banjir merupakan satu fenomena saban tahun yang berlaku berabad lamanya, tetapi tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai menghulur bantuan.

Melangkaui batas agama dan bangsa yang berbeza, sokongan dan kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan peri penting kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan Pakatan dan NGO.

Zaman sukar menanti kita kesan daripada perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan pertumbuhan ekonomi yang turut menguncup. Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.

Tatkala inflasi berterusan meningkat di saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan terus melebar.

Justeru, kami menggesa kerajaan agar telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat menantikan pengumuman Selasa ini dan menjangkakan usaha kerajaan Persekutuan yang serius lagi bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Tulisan ini daripada ucapan dasar di program “Meet Anwar” di One World Hotel pada hari ini.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud