ARTIKEL SEBELUM

12/12/14

Ketua Pembangkang sebahagian sistem negara, Anwar ada hak

Pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) seperti tidak memahami bahawa Ketua Pembangkang merupakan sebahagian sistem parlimen negara, melayakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pandangan dan berucap.

Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya berkata, UM sebagai universiti ulung di negara ini harus menunjukkan contoh baik dan tidak menghina pelajarnya seolah-olah tidak tahu membuat penilaian dengan akal.

“Datuk Seri Anwar merupakan pemimpin yang dipilih rakyat dan bukan seorang penjenayah. Malah, beliau seorang bekas pelajar UM sendiri.

“Adakah pihak pentadbiran universiti tidak memahami bahawa jawatan Ketua Pembangkang merupakan sebahagian sistem parlimen negara? kata Dyana dalam satu kenyataan.

Ujar Dyana di negara yang melaksanakan sistem Westminister, jawatan Ketua Pembangkang adalah jawatan rasmi, dilihat sebagai alternatif kepada jawatan Perdana Menteri.

Malah, di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang dan Selangor, pembangkang bukan sahaja diiktiraf, malah diberi peruntukan tahunan.

“Di Selangor, Ketua Pembangkang diberikan elaun tambahan di samping kereta rasmi kerajaan.

“Oleh itu, penghormatan yang wajar harus diberi (kepada Anwar),” ujar Dyana sambil menambah, tindakan menghalang pemimpin Pakatan berucap di universiti awam tidak matang dan menghina sistem demokrasi.

Dalam pada itu beliau turut menyelar keputusan UM menggantung pelajarnya, Fahmi Zainol selama dua semester disamping denda RM600, manakala Safwan Shamsuddin digantung satu semester dan didenda RM300 berserta amaran.

Dalam kes digelar UM8 itu empat yang lain diberi amaran dan denda RM150, manakala seorang lagi aktivis pelajar dilepaskan dengan amaran.

“Universiti Malaya sepatutnya bangga kerana mempunyai mahasiswa yang berfikiran terbuka dan berani melibatkan diri dengan aktif berkenaan isu semasa serta menyuarakan pendapat,” ujar Dyana.

“Pentadbiran universiti seharusnya tidak khuatir dengan kebebasan mahasiswa selagi tindakan mereka tidak melampau dan menjejaskan keamanan.

“Sekiranya UM benar-benar serius dalam pemerkasaan mahasiswa mereka, hukuman ke atas UM8 harus ditarik balik dengan segera,” tegasnya. – Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud