ARTIKEL SEBELUM

26/12/14

Kerajaan Kelantan nafi abai mangsa banjir, utama hudud

Kerajaan PAS Kelantan menafikan mengabaikan kebajikan rakyat yang menjadi mangsa banjir besar dengan mementingkan pindaan kepada undang-undang negeri pada 29 Disember ini bagi membolehkan pelaksanaan hudud di negeri tersebut.

Parti Islam tersebut dijangka meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah II 1993 walaupun hampir keseluruhan negeri tersebut ditenggelami banjir.


Bagi Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar Abdullah (gambar), isu kerajaan Kelantan tidak mementingkan nasib mangsa banjir tidak timbul kerana usaha membantu masih berjalan.


"Bilik gerakan 24 jam kita buka, jadi apa kita tidak buatnya? Kena betul cara tengok itu.

"Takkan satu hari bersidang akan menjejaskan seluruh usaha membantu mangsa banjir, yang terlibat dalam dewan pun berapa orang sahaja. Polis, tentera tidak terlibat dalam sidang dewan," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Malah Amar berkata, Menteri Besar (MB) Kelantan Datuk Ahmad Yakob juga tidak putus-putus mengadakan lawatan dan meninjau kawasan yang dilanda banjir.

"Usaha membantu mangsa banjir berjalan, tidak berhenti, MB pun balik rumah lewat, melawat tempat mangsa banjir," katanya.

Amar berkata kejadian bencana alam seperti banjir ialah suatu yang tidak dijangka, ia tidak seharusnya dijadikan alasan menghalang daripada sidang tersebut diteruskan.

"Siapa tahu nak banjir? Banjir ini berlaku semua tidak boleh dijangka. Masa kita buat keputusan, kita tidak tahu akan berlaku banjir.

"Kita nak kata apa? Bukan kita nak buat dalam banjir. Kita kena teruskan, hujan di luar kuasa kita, banjir di luar kuasa kita," katanya lagi yang yakin sidang tersebut akan diteruskan.

Langkah kerajaan Kelantan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya ketika negeri tersebut berdepan dengan bencana banjir paling buruk dalam sejarah.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265) semalam.

Terdapat desakan daripada pelbagai pihak supaya sidang tersebut ditangguhkan dan menyelesaikan beberapa perkara berbangkit terlebih dahulu, khususnya melibatkan perbincangan dengan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP.

DAP paling lantang mengkritik langkah tersebut kerana melanggar konsensus bersama dalam gabungan pembangkang tersebut.

Kata dua juga diberikan supaya PAS disingkirkan daripada PR jika terus melaksanakan undang-undang Islam tersebut.

Di Kelantan pula, sesetengah pemimpin PAS sendiri meminta ia ditangguhkan bagi membolehkan tumpuan diberi kepada kepentingan rakyat yang sedang menghadapi banjir terburuk dalam sejarah di negeri itu.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud