ARTIKEL SEBELUM

6/11/14

Tarik balik botol air papar dewa Hindu dari pasaran

 


Botol air mineral yang mempromosikan kuil Batu Caves akan ditarik balik dari pasaran, kata syarikat pengeluarnya, Chuan Sin Sdn Bhd.

Mengulas bantahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Timbalan Pengurus Besar syarikat itu, Chong Mee Yong berkata imej patung Lord Murugan pada label di botol itu, tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan sesiapa.

Sebaliknya, imej pada label botol air mineral jenama 'Cactus' itu bertujuan untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2014, katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi meyakinkan pelanggannya bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai niat yang tidak baik dalam memilih imej berkenaan, serta mengambil serius semua maklum balas orang ramai, maka ia menarik jualan botol tersebut dari pasaran.

"(Kami akan juga) menghentikan pengeluaran botol dengan label itu. Kami juga sedang mengeluarkan satu siri imej baru untuk label itu," katanya.

PPIM hari ini membuat laporan polis terhadap syarikat itu dengan berkata bahawa cetakan imej dewa Hindu di sebelah logo halal adalah "berunsur hasutan" dan "tidak sensitif" terhadap umat Islam.

Setiausaha Agung PPIM, Sheikh Abdul Kareem berkata pihaknya telah membuat laporan polis supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang diperlukan di bawah Akta Hasutan atau akta-akta yang berkaitan.

Menurut laporan , kumpulan itu berkata tindakan memaparkan imej dewa Hindu di samping logo halal itu adalah satu penghinaan kepada agama Islam yang merupakan agama persekutuan.

Katanya, sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di Malaysia, ia perlu lebih tahu tentang sensitiviti orang Islam, yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Tinjauan Malaysiakini menunjukkan bahawa label jenama Cactus menampilkan destinasi pelancongan yang berbeza di Malaysia, termasuk Jalan Petaling dan kuil Batu Caves, yang mempunyai patung besar Lord Murugan, sebagai menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Seterusnya, gambar-gambar destinasi pelancongan itu dipaparkan sebelah kandungan pengilang dan tidak terus di sebelah logo halal.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata tindakan pihak syarikat yang telah menggunakan pembungkusan yang padanya terdapat imej yang berunsur ketuhanan adalah bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Katanya, perkara 6.3 Pembungkusan Dan Pelabelan secara jelas menyebut “Logo halal Malaysia tidak boleh digunakan pada produk yang dipromosikan sempena perayaan agama bukan Islam atau bersama dengan lambang agama bukan Islam”.

Sehubungan itu, katanya, Jakim mengarahkan syarikat berkenaan menukar pembungkusan tersebut bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

"Sekiranya pihak syarikat enggan, tindakan penggantungan sijil halal boleh dikenakan ke atas syarikat diatas kesalahan yang bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya merujuk isu yang ditimbulkan oleh beberapa akhbar tempatan hasil aduan PPIM.

Aduan tersebut adalah berkenaan satu produk air mineral yang padanya terdapat imej berhala dan dalam masa yang sama terdapat logo halal Malaysia.

"Ia merupakan aduan kali pertama yang diterima oleh Jakim dan pihak Jabatan menghargai keprihatinan pihak pengguna dalam perkara ini," tambahnya.- mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud