BACHOK - Ibu kepada remaja lelaki yang dibogelkan setelah ditangkap kerana dikatakan cuba mencuri sebuah motosikal di perkarangan Masjid Pauh Lima, Kota Bharu Selasa lalu, kecewa dengan tindakan orang ramai yang sanggup memperlakukan anaknya sedemikian rupa.
Ibu berusia 38 tahun itu berkata, meskipun anaknya yang berusia 15 tahun bersalah, orang ramai tidak mempunyai hak untuk memperlakukan anaknya seperti itu.
"Kalau mereka pukul, saya boleh terima tetapi bila orang ramai bogelkan, memang itu perkara yang memalukan kami sekeluarga.
"Luluh hati seorang ibu apabila melihat anak diperlakukan begitu. Biarpun kalau dia bersalah sekalipun, masih ada banyak lagi cara untuk menghukumnya," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kejadian yang menimpa anaknya itu.
Beliau berkata, perkara berkenaan juga bertentangan dengan ajaran Islam. - Bernama