ARTIKEL SEBELUM

8/11/14

Tanya Dr Mahathir siapa Noh Omar, kata Azmin

 Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dikatakan cuba berlagak pandai apabila mencadangkan pertemuan antara Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan SIS berhubung fatwa sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 November, 2014.

Mohamed Azmin Ali hari ini enggan mengulas dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendakwanya "cuba tunjuk pandai" mencari jalan pendamaian berhubung kemelut fatwa Sisters in Islam (SIS).

Menteri besar Selangor itu sebaliknya berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dirujuk untuk mengenali siapakah sebenarnya Noh.

"Siapa? Noh Omar? Dia ada lagi?


"Saya ingat tanya Dr Mahathir siapa Noh Omar ni?" katanya menjawab ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya.

Noh semalam mendakwa Azmin cuba berlagak pandai apabila mencadangkan satu pertemuan diadakan di antara Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan SIS berhubung fatwa sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu.

Katanya, adalah tidak wajar pertemuan itu diadakan kerana SIS sudah pun mengemukakan semakan kehakiman berhubung status mereka di mahkamah.

“Sekiranya menteri besar mahu mufti jumpa SIS, beliau kena nasihatkan NGO itu supaya menarik balik kes tersebut.

“Tetapi Azmin hendak tunjuk pandai sedangkan Mufti lebih arif mengenai perkara ini. Mufti tidak mahu jumpa sebab perkara ini dalam pengetahuan mahkamah," katanya dipetik dari akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Noh pada Rabu meminta Dr Mahathir menjelaskan sejak zaman bila orang ramai mula mengaitkan Umno sebagai parti rasuah.

Beliau turut menggesa Dr Mahathir memberi komen secara spesifik berhubung kritikannya kepada Umno Selangor yang didesak untuk dibubarkan.

“Dia suruh siapa berundur? Umno Selangor itu siapa? Saya hendak komen macam mana kalau tidak ada spesifik. Hendak undur apa? Yang duduk di Umno Selangor itu semua ketua bahagian. Ketua bahagian yang dipilih oleh orang Umno, oleh perhimpunan.

“Hendak kata saya, saya tidak pernah kalah. Majoriti saya meningkat lagi. Siapa yang dimaksudkan secara spesifik?” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam perkembangan lain, Azmin mengumumkan Bajet 2015 kerajaan negeri Selangor akan memperuntukkan sejumlah RM10 juta setahun untuk tabung biasiswa pelajaran khusus untuk pelajar Unisel yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri khas untuk mahasiswa Unisel dengan peruntukan berjumlah RM12 juta sebagai bantuan sebelum mereka mendapat pembiayaan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ya, itu akan diumum balik dalam Bajet 2015 kami dan ia akan dilaksanakan pada tahun depan. Kita ada rezab yang besar. Jangan bimbang tentang itu. Ia soal pengiraan saja.

“Buat kali pertama, kerajaan negeri menyediakan satu peruntukan yang besar untuk biasiswa sara hidup memandangkan sekarang, kita dapat maklumat, pinjaman PTPTN diberikan agak lambat, 3 atau 4 bulan kelewatan.

“3 atau 4 bulan itu kita ada masalah tentang kos sara hidup pelajar. Jadi sekarang kita berikan one-off kepada mereka,” katanya.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud