ARTIKEL SEBELUM

13/11/14

Melayu mana yang jual agama dan bangsa?

 

KUALA LUMPUR: Bayang-bayang pemimpin Umno sedang menakutkan mereka sendiri dan sekarang sedang merepek dan meroyan kerana ketakutan itu, tulis Aspan Alias dalam blognya semalam.

Beliau menulis demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin yang mengatakan Umno sedang menghadapi musuh dari segelintir pemimpin Melayu sendiri yang sanggup menggadaikan agama, bangsa serta raja semata-mata kerana kerakusan kuasa.

Bagi Aspan, menuduh mana-mana pihak menggadaikan agama, bangsa dan raja sendiri itu tidak sepatutnya diarahkan kepada mana-mana pihak kerana tuduhan-tuduhan Hishammuddin itu sepatutnya diarahkan kepada Umno sendiri, bukannya kepada pihak-pihak lain.

Bagaimanapun, dilaporkan Naib Presiden Umno itu tidak pula menyebut nama-nama yang beliau maksudkan itu.

Menurut Aspan lagi, tetapi kenyataan itu melambangkan keresahan Umno yang pimpinan mereka sedang berhadapan dengan permainan bayang-bayang mereka sendiri.

"Biar kita berterus terang, dan mari kita bertanya kepada Hishammuddin, apa yang tidak dilakukan oleh Umno dan pimpinan sekarang yang menafikan mereka tidak menggadaikan maruah bangsa, agamanya dan rajanya sendiri seperti tuduhan Hishammuddin terhadap pihak lain, yang beliau sahaja yang tahu siapa yang beliau maksudkan itu," tulisnya lagi.

Tambahnya, wajar diberitahu Hishammuddin yang membiarkan atau melakukan rasuah itu adalah menggadaikan agama.

Apa tidaknya, kata beliau kerana rasuah itu amat dibenci oleh agama, mana-mana agama sekali pun, tetapi itulah yang sedang berlaku dalam kerajaan seolah-olah tidak ada cara untuk mengawalnya lagi.

"Malahan inilah isunya yang telah membawa imej negara ini sebagai salah sebuah negara yang mana rasuah itu adalah berleluasa. Rasuah itu merupakan tindakan ‘head-on’ dengan kemahuan dan nilai agama suci Islam kita ini," ujarnya.


Menurut beliu, yang pentingnya negara mesti diperkemaskan dan moral pentadbiran mesti dipertingkat dan roh kepimpinan politik dan kerajaan wajar ditransformasikan secepat yang mungkin.

Ini, katanya kerana pPimpinan hari ini telah mengumumkan berbagai-bagai dasar yang tidak difikirkan dengan teliti dan hampir kesemuanya yang diumumkan itu berakhir dengan kegagalan dan tidak membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya ketirisan dan rasuah serta salah laku pimpinan dan kerajaan tetap berlaku tanpa ada pihak yang ingin memperbaikinya.

Tambah Aspan, skandal kewangan berulang-ulang dan setiap skandal yang berlaku itu lebih besar dari apa yang berlaku sebelumnya, dan pimpinan kita sentiasa memberikan alasan dan sebab yang lemah untuk menutup skandal yang melibatkan wang rakyat itu.

Katanya, rakyat telah membiarkan ia berlaku tanpa tindakan dan seolah-olah pimpinan kita telah mengambil kebaikan orang ramai itu sebagai kelemahan dan boleh dikotak-katikkan rakyat semahunya.

Maka jika ada pihak di kalangan pimpinan Melayu yang berusaha untuk membetulkan keadaan maka tindakan itu tentulah tindakan yang amat perlu mendapat sokongan, ujarnya.

"Memberikan kritikan untuk membetulkan kepimpinan hari ini tidak berupaya mengubah sikap dan nilai kepimpinan mereka, maka mengambil alih pimpinan dari mereka merupakan satu-satunya cara terakhir bagi menyelematkan negara dari terhumban ke lembah kehinaan yang mungkin tidak dapat diperbaiki lagi," tambahnya. - HARAKAHDAILY

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud