Pihak polis akan menyiasat laporan berhubung beberapa cebisan helaian Al-Quran dipercayai dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran Pasar Besar di Alor Setar.
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu pada pukul 10 pagi tadi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian yang terletak berhampiran sebuah tokong dan menemui beberapa cebisan kertas yang dipercayai al-Quran yang dibakar.
"Kita syaki kemungkinan orang yang melakukan perkara ini mengalami masalah mental tetapi siasatan masih dijalankan. Diharapkan pihak di luar sana tidak membesar-besarkan isu ini kerana bimbang akan berlaku perselisihan faham antara kaum.
"Sekiranya ia dilakukan atas niat khianat, kita akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan harmoni dan perpaduan, rasa tidak puas hati dan prejudis berdasarkan agama yang boleh disabitkan dengan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun," katanya kepada pemberita.
Beliau berharap agar mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil memberi keterangan.
Pada mulanya seorang peniaga mendapat tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan seorang individu lain sebelum beliau membuat laporan polis.
Sementara itu Zakaria berkata pihaknya masih menyiasat berhubung dakwaan empat anggota polis terbabit dalam kes samun ke atas seorang warga asing di Kampung Gelong, Jitra pada Ahad lalu.
"Kes masih dalam siasatan polis dan sekiranya anggota polis berkenaan didapati bersalah, kita akan ambil tindakan tegas dan tidak akan membiar dan melindungi mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Seorang wanita Myanmar membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya disamun empat lelaki yang mengaku sebagai anggota polis yang mengambil rantai leher, telefon bimbit dan wang tunainya berjumlah RM800. – Bernama