SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengakui wujud salah kuasa dalam pemberian pampasan sebanyak RM2.6 juta kepada lapan orang bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga ahli lembaga Menteri Besar Incorporated (MBI).
Azmin menyatakan penyelewengan yang dilakukan pengurusan terdahulu MBI itu sangat ketara ia bukan sahaja membabitkan nilai pampasan malah proses pembayaran juga.
"Ya, terlalu jelas wujud salah guna kuasa bukan sahaja dari segi jumlah malah proses pemberian pampasan.
"Penyaluran ganti rugi kepada lapan orang ahli lembaga MBI itu dilakukan serta merta dan ia jelas meragukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: MP Pas gesa Selangor siasat pampasan RM2.6 juta]
Justeru Azmin bertegas akan meminta pengurusan baharu MBI yang bakal melapor diri bermula 1 Disember ini untuk melakukan siasatan terhadap laporan audit berkenaan.
Sementara itu, Azmin menegaskan sekiranya hasil siasatan jelas mendapati perkara itu melanggar peraturan, salah guna kuasa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Kita tidak akan sembunyikan fakta malah tidak akan berkompromi dengan salah guna kuasa. Semua perkara harus diselesaikan mengikut proses. Beri saya masa untuk selesaikan semua kemelut," katanya.- SH