SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak menghulur bantuan membaiki bumbung pangsapuri Taman Permai Indah di Pandamaran, Klang yang rosak akibat ribut taufan pada 21 Oktober lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM880,000 bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung rumah penduduk yang rosak sejurus selepas kejadian berkenaan.
"Cuma kerja-kerja ini membabitkan dua fasa, sebelum kita baiki bumbung kita kena baiki tangki air rumah penduduk dulu.
"Kita tidak mahu apabila bumbung dah dipasang kemudian kena buka balik untuk perbaiki tangki air," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri di sini, hari ini.
Semalam, seramai 1,000 penduduk pangsapuri Taman Permai Indah berkumpul dan mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri kerana masih belum menghulur bantuan tersebut.
Penduduk mendakwa kerajaan negeri tidak mengendahkan aduan mereka. Mengulas mengenai calon timbalan speakar Dun Selangor, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan diumumkan pada persidangan dewan 24 November ini.
"Proses pencalonan telah tamat hari ini dan perkara itu akan dibentangkan pada sidang Dun 24 November, jadi tunggulah," katanya.
Jawatan timbalan speaker akan diisi Adun Pas setelah penjawatnya sebelum ini Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai anggota exco negeri. - Bernama