KUALA LUMPUR: Pesta arak Oktoberfest yang berlangsung di negara kita adalah pengkhianatan terhadap sosio budaya dan nilai tatasusila beragama di negara kita.
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengakui bahawa orang bukan Islam mempunyai hak yang diperuntukkan untuk meminum arak namun dalam ruang lingkup yang dibenarkan.
Pemangku Ketua DUPP, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, arak boleh diminum oleh mereka bahkan Islam tidak pernah menyekat untuk mereka menikmati arak sebagaimana makanan yang lain.
Namun, jelasnya Islam amat bertegas dalam prinsip dan tidak membiarkan penularan gejala-gejala keruntuhan sosial berlaku.
"Pesta arak ini banyak aspek buruknya iaitu ia akan menjadikan arak ini bahan promosi dan kita bimbang ada dalam kalangan umat Islam yang terlibat sama," tulis beliau menerusi facebook.
Tegasnya, umat Islam diharamkan sama sekali untuk terlibat dengan pesta itu, bukan setakat menghadiri dan meminum arak akan tetapi dengan menjadi orang tengah yang mempromosi Oktoberfest pun sudah haram.
Justeru, katanya DUPP amat kesal di atas penganjuran yang beliau difahamkan pihak kerajaan Selangor sendiri tidak pernah meluluskan penganjuran Oktoberfest.
"Syarikat Carlsberg mesti memohon maaf secara terbuka jika tidak pihak kerajaan Selangor mesti mengambil tindakan tegas di atas sikap mencemarkan sensitiviti umat Islam yang pada ketika ini umat Islam sedang meraikan sambutan hari raya Aidiladha," ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Tambahnya, DUPP juga menuntut kepada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyiasat penganjuran pesta ini dan mencari dalang siapa yang sebenarnya terlibat dalam perkara ini sehingga boleh tersebar sebagai festival arak.
Sehubungan itu, DUPP berharap umat Islam tidak terlibat sama dalam perkara ini dan kepada orang bukan Islam agar mereka faham bahawa lunas-lunas keagamaan dalam semua agama tidak membenarkan penularan gejala yang tidak baik dalam masyarakat melalui arak yang memabukkan itu. - HARAKAHDAILY