KOTA BHARU: Selepas pelancaran masuk tapak diadakan pada 27 Ogos lalu, kerja-kerja tanah pembinaan Lebuh Raya Rakyat Machang-Kuala Krai kini siap kira-kira 75 peratus.
Kerja-kerja tersebut membabitkan jajaran sepanjang 3 km di Bukit Bakar, Machang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kerja-kerja tersebut berjalan lancar.
Katanya, pembinaan diteruskan secara berperingkat-peringkat termasuk di kawasan tapak milik persendirian.
“Proses pengambilan semula tanah milik yang terbabit dengan jajaran itu sedang dijalankan Pejabat Tanah dan Galian.
“Ia dijangka mengambil masa sehingga sembilan bulan untuk diselesaikan,” katanya menjawab soalan Ustaz Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dun hari ini.
Projek lebuh raya tersebut diusahakan kerajaan negeri setelah tertangguh sejak 1986 apabila kerajaan pusat tidak senaraikan dalam RMK-5.
Pembinaan Lebuh Raya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer bermula dari Bukit Tiu sehingga Dusun Damar, Kuala Krai membabitkan kos sebanyak RM854 juta dijangka siap akhir 2017. HD