ARTIKEL SEBELUM

7/10/14

JPJ enggan dedah ‘anggota pentadbiran kerajaan’ menang bidaan BMW

Anggota Kabinet, hakim, dan kerabat diraja adalah pemenang bidaan yang tidak dinamakan bagi nombor pendaftaran "BMW", kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ berkata, nama pemenang bidaan itu dirahsiakan adalah prosedur biasa yang diamalkan bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat.

Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad turut menafikan jabatan berkenaan memberi lima nombor pendaftaran eksklusif yang tertera "Anggota Pentadbiran Kerajaan" secara percuma.Pembida yang tidak dinamakan itu turut membayar bagi nombor pendaftaran BMW 1, BMW 2, BMW 7, BMW 9 dan BMW 10, namun enggan mendedahkan jumlah bidaan mereka yang diterima JPJ.

"Mereka bida nombor-nombor pendaftaran itu dan memenanginya. Kami tidak dedahkan nama dan jumlahnya untuk mengelakkan persepsi negatif masyarakat," kata Ismail kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata amalan berkenaan merupakan prosedur operasi standard (SOP) JPJ dan tidak berbangkit isu ketelusan berhubung perkara itu.

"Ini amalan kami. Ia bukan soal ketelusan. Ini SOP dan kami tiada niat buruk merahsiakan maklumat itu.

"Kami mahu mengelakkan spekulasi. Selagi mana-mana individu ada duit dan melakukannya dengan cara yang sah untuk memperolehi nombor itu, mereka boleh memilikinya tanpa mengira siapa mereka," kata Ismail.

Beliau juga berkata SOP berkenaan adalah untuk tidak mendedahkan nama pembida yang merupakan kerabat diraja, atau kerabat rapat kepada Yang Di Pertuan Agong.

Lima pembida yang tidak didedahkan identitinya timbul selepas aktivis anti jenayah, R Sri Sanjeevan dikritik kerana membida bagi nombor pendaftaran BMW 8 dan BMW 11 dengan harga RM340,000.

Pengerusi pertubuhan MyWatch itu turut disenaraikan bersama pembida yang berjaya memenangi bidaan bagi nombor pendaftaran bermula BMW 1 hingga BMW 12 dengan JPJ Selangor.

Turut tersenarai adalah lima pemenang yang tidak dinyatakan butiran lanjut bidaan mereka.

Perkara itu menimbulkan spekulasi di media sosial anggota kerajaan berkenaan menerima nombor tersebut secara percuma.

Ismail berkata hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memiliki nombor pendaftaran percuma lebih dari satu, namun masih tertakluk kepada beberapa kuota.

Bagi menteri pula, kata Ismail, mereka hanya diberikan sebuah nombor pendaftaran kenderaan secara percuma.

"Jika hendak lebih, mereka perlu bayar kerana kelebihan yang diberikan hanya satu nombor pendaftaran percuma.

"Individu yang mendapat lebih dari satu nombor pendaftaran percuma adalah Yang di-Pertuan Agong, namun itu pun ada kuotanya," kata Ismail.

"Jumlah untuk nombor panas seperti ini boleh mencecah tiga, empat kali ganda berbanding nombor pendaftaran biasa. Itu sahaja yang boleh saya kata," katanya.

"Jadi jika nombor normal dijual pada RM1 juta, untuk jenis ini, boleh jadi RM3 juta hingga RM4 juta," kata Ismail.

Nombor pendaftaran kenderaan bermula dengan BMW dibuka untuk bidaan pada 14 Ogos hingga 28 Ogos di semua premis JPJ.

Ikon badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei juga turut tersenarai sebagai pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran BMW 6 dengan jumlah RM97,777 sementara Tengku Ahmad Shah memenangi bidaan BMW 3 dengan harga RM132,000.

Nombor pendaftaran BMW 5 dimenangi Tengku Sulaiman Shah dengan RM188,100.

Kejayaan Sanjeevan mendapatkan nombor pendaftaran BMW 8 dan BMW 11 dengan bayaran hampir RM340,00 mengundang reaksi sinis di Twitter.

Ketika menjawab soalan pengguna Twitter @saifuyoo yang bertanyakan sama ada beliau menabung sedari kecil untuk membeli nombor plat berkenaan, Sanjeevan berkata: "Yes tepat sekali... Haha!"

Beliau berkata bukanlah sesuatu yang mengejutkan dapat membeli nombor plat dengan harga berkenaan kerana pengasas Facebook Mark Zuckerberg mampu menjadi seorang hartawan.

"Biarkan mereka berkata apa yang mereka mahu kerana akhirnya itu adalah duit hasil gigih saya dan terpulang bagaimana saya membelanjakannya.

"Mark Zuckerberg seusia dengan saya tetapi dia seorang bilionair. Ada saya merungut? Tidak, saya bersaing," katanya menjawab pelbagai pertanyaan pengikutnya di Twitter.

Sanjeevan terselamat dalam insiden ditembak di dada Julai tahun lalu oleh seorang penunggang motosikal ketika sedang memandu kenderaan jenis BMW miliknya di Negeri Sembilan selepas beberapa hari membuat dakwaan terdapat perlakuan rasuah dalam jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud