ARTIKEL SEBELUM

10/09/14

PKR utus surat mohon maaf kepada sultan

PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan partinya mengutus surat mohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung keingkaran parti itu mematuhi titah baginda.

Beliau menyatakan surat merafak sembah berkenaan telah dihantar semalam yang mana kandungannya respons kepada kemurkaan sultan susulan tindakan PKR tidak menamakan lebih daripada dua nama seperti dititahkan baginda.

"Kita hantar surat kepada tuanku memohon ampun dan maaf, merafak sembah dan itu satu amalan biasa (untuk jawab surat baginda).

"Itu untuk pihak baginda lihat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat biro politik, di sini, semalam.



Reaksi sama turut dizahirkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung surat mohon maaf yang dihantar kepada sultan.

"Surat respons kepada istana telah diserahkan tadi (semalam). Presiden yang tandatangan. Saya pun tak tahu kandungan surat itu.

"Dalam mesyuarat tadi presiden maklumkan surat telah dihantar, dan istana cop mengesahkan terima," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan dalam mesyuarat itu, PKR tidak membincangkan isu nama calon menteri besar.

"Kita tak bincang perkara itu tadi (nama calon). Kita bincang pasal PRK Pengkalan Kubor, wakil parti dalam muktamar Pas, program penerangan di negeri Selangor.

"Kita dah beri laluan untuk Pas bertanding, kemudian kita minta jentera parti peringkat negeri Kelantan digerakkan membantu. Untuk itu Nik Nazmi kita beri peranan untuk bersama PKR di sana," katanya.

Pada 3 September lalu, pihak istana Selangor telah menghantar satu surat peringatan kepada PKR untuk menghantar lebih daripada dua nama calon bagi menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud