ARTIKEL SEBELUM

19/09/14

‘Janggal’ jika Azmin jadi menteri besar, kata sumber PKR

Sumber PKR keberatan mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang petang ini mengatakan timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Ini kerana, nama beliau difahamkan tidak pernah secara rasmi dicalonkan kepada Sultan Selangor untuk mengisi jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber dalaman parti tersebut memberitahu , mereka juga mendengar perkhabaran yang pihak istana memilih Azmin, tetapi tidak berani mengesahkannya dan menyifatkannya sebagai “janggal”.


Mereka berkata, sekiranya ia benar sekalipun Azmin mungkin akan mengubah fikirannya dan tidak menerima jawatan itu kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Nama Azmin rancak dihebahkan melalui laman Twitter mulai petang ini berikutan pengesahan istana yang istiadat angkat sumpah bagi menteri besar baharu akan dibuat pada 23 September ini.

Bernama juga difahamkan, Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa, dan Iskandar Abdul Samad, Adun Cempaka daripada PAS adalah calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Agensi berita itu bagaimanapun tidak memaklumkan sumber beritanya.

Berita Harian Online petang ini juga melaporkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail besar kemungkinan tidak akan dilantik sebagai menteri besar seperti rancangan asal PKR.

Portal berita itu memetik sumber istana yang mengatakan Sultan tidak akan memilih calon menteri besar wanita.

Sumber itu juga bagaimanapun, enggan mendedahkan siapa calon sebenar yang akan dilantik dan parti politik mana terlibat.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan kad jemputan menghadiri istiadat angkat sumpah tersebut diedarkan hari ini untuk majlis yang akan dilangsungkan pada 10 pagi Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang.

Nama menteri besar baharu itu bagaimanapun tidak dinyatakan di dalam kad jemputan itu.

DAP dan PKR menyerahkan hanya satu nama kepada Sultan iaitu Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan sebagai calon mengisi jawatan menteri besar itu.

Bagaimanapun, PAS mengambil langkah berbeza daripada rakannya di dalam PR apabila presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar tiga nama kepada istana.

Dipercayai mereka ialah Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok), Dr Yaakub Sapari (PKR-Kota Anggerik) dan Iskandar, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor PAS dan ahli exco kerajaan negeri.

Tidak diketahui sama ada PKR dan DAP kemudiannya memberi lebih daripada satu nama selepas ditegur Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini bertitah mahu lebih daripada dua nama.- The Malaysian Insider

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud