ARTIKEL SEBELUM

28/09/14

Azmin kini pemimpin PKR paling berkuasa, kata Awang Selamat

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengiringi Sultan Selangor menontot perlawanan bola sepak pasukan Selangor menentang Singapura, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 September, 2014. 


Menteri besar Selangor yang baru dilantik Mohamed Azmin Ali kini dianggap pemimpin yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam PKR, meninggalkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, lapor media rasmi Umno Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar itu mendakwa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar membuat pusingan U dengan memberikan kek kepada Azmin selepas beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar minggu lalu.

Menggunakan nama samaran "Awang Selamat" dalam edisi Ahad akhbar itu, Mingguan Malaysia, editor akhbar tersebut berkata isteri Azmin, Shamsidar Tahrin, tidak hadir pada majlis memotong kek itu.


"Awang tertanya-tanya, adakah majlis memotong kek yang hanya pertunjukan politik Wan Azizah kepada Azmin?" tulis Awang Selamat dalam ruangan mingguannya.

"Realitinya kini Azmin menjadi pemimpin PKR paling berkuasa dan berpengaruh. Anwar dan isteri tiada pilihan selain menjaga hati Azmin bagai menatang minyak penuh,” katanya.

Awang Selamat juga mendakwa keputusan Sultan Selangor melantik Azmin menyebabkan lawannya dalam PKR khususnya penyokong Dr Wan Azizah kurang senang.

"Pelantikan Azmin bermakna terkuburnya Langkah Kajang yang digerakkan Anwar untuk mengangkat dirinya sebagai menteri besar pada asalnya, sebelum ditukar kepada Dr Wan Azizah.

"Wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengadakan pilihan raya kecil DUN Kajang walaupun wakil rakyatnya tidak mati. Anwar juga bermati-matian mahukan isterinya menjadi menteri besar sehingga mengheret kepada krisis yang panjang dan menyaksikan penderhakaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya.

Awang Selamat berkata Anwar tidak mempunyai kepercayaan kepada Azmin untuk dilantik sebagai MB, sehinggalah Sultan sendiri akhirnya melantik beliau pada Selasa lepas.

"Sehebat mana manusia merancang tapi Allah yang menentukan.

"Akhirnya ia rezeki Azmin walaupun Langkah Kajang menafikan peluang beliau,” katanya.

Awang Selamat turut memuji ketegasan Sultan Selangor kerana menolak "politik yang ekstrem" di samping mempunyai keberanian membidas PKR kerana menjadi punca masalah di negeri tersebut.

"Untuk seorang Raja berulang kali membangkitkan isu terhadap pihak yang sama, sudah tentu besar mudarat yang dilakukan. Memang itu hakikatnya. Awang pun hairan mengapa jalan penderhakaan dan budaya songsang yang dipilih,” tulisnya. -TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud