ARTIKEL SEBELUM

27/08/14

Nik Nazmi calon ketiga MB Selangor, kata sumber

PKR dan DAP mungkin mahu Presiden PKD Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai satu-satunya calon mereka untuk menteri besar Selangor tetapi keyakinan semakin meningkat ketua Pemuda PKR yang baru terpilih Nik Nazmi Nik Ahmad bakal menjadi pilihan untuk memegang jawatan itu selepas Sultan Selangor meminta lebih dua nama untuk memudahkan baginda membuat pilihan.

Menurut sumber PKR, nama Nik Nazmi mula disebut sebagai calon ketiga selepas Dr Wan Azizah Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebelum keputusan akhir pemilihan Pemuda diumumkan baru-baru ini.

"Nik Nazmi sekarang orang yang paling kanan dalam PKR selepas selepas menang jawatan ketua Pemuda baru-baru ini. Jadi amatlah wajar beliau dipilih sebagai calon ketiga itu," kata sumber itu.Nik Nazmi, 32, adalah timbalan speaker yang juga Adun Seri Setia. Beliau juga bekas Setiausaha Politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum jawatan itu diambil alih oleh Faekah Husin.


Beliau diumumkan sebagai pemenang jawatan ketua Pemuda dalam Kongres PKR baru-baru ini walaupun ketika pengumuman keputusan awal dibuat, nama Adun Batu Caves Amirudin Shaari sentiasa mendahului beliau.

PKR dan DAP malam tadi mengumumkan nama Dr Wan Azizah kekal sebagai calon berdasarkan amalan mereka hanya mencalonkan satu nama selepas surat Sultan yang mahukan mereka menamakan empat nama selepas Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

Turut menjadi spekulasi adalah Azmin akan juga dinamakan untuk jawatan itu namun ia bukan kehendak parti.

Sebelum ini, The Malaysian Insider pernah menyebut, calon ketiga selepas Dr Wan Azizah dan Azmin ialah Adun Ijok Dr Idris Ahmad.

Namun, selepas didedahkan, serangan datang bertalu-talu terhadap beliau menyebabkan nama beliau agak terkebelakang.

Khalid memberitahu sidang media petang semalam Sultan Selangor menangguhkan peletakan jawatannya sehinggalah menteri besar baharu dilantik.

Baginda menitahkan agar setiap parti mengemukakan lebih dua nama untuk membolehkan baginda membuat pilihan.

Sehingga kini, hanya PAS mempunyai dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin Ali namun PKR dan DAP mempunyai satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah.

PAS juga sudah beberapa kali bertegas, tiada calon daripada parti Islam itu akan dinamakan untuk jawatan ini.

Namun sehingga berita ini ditulis, PAS belum menamakan calonnya untuk jawatan itu selepas Sultan mengarahkan agar memberikan lebih dua nama untuk membolehkan baginda membuat pilihan.

Malam tadi, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mencadangkan melalui Facebooknya Nik Nazmi dinamakan sebagai calon alternatif untuk jawatan itu.

Beliau berkata, jika PKR dan DAP mahu meneruskan hasrat menghantar hanya satu nama, maka krisis ini akan berlarutan panjang.

"Rakyat akan bertambah meluat. Ia masa terbaik untuk Pakatan Rakyat (PR) kembali duduk semeja untuk mencapai persefahaman yang mungkin gagal dicapai sebelum ini.

"Saya suka mencadangkan rakan sejawat saya YB Nik Nazmi Nik Ahmad ketua Pemuda PKR sebagai salah seorang calon MB Selangor," tulisnya.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud