ARTIKEL SEBELUM

27/08/14

Hanya satu nama dari PKR, DAP: Azizah

 


PKR dan DAP hanya akan mencalonkan satu nama sahaja, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk dipersembahkan kepada sultan Selangor sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu , tindakan itu diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah sultan Selangor.

Ia juga mengambil kira keadaan semasa yang menyaksikan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor (termasuk dirinya sendiri).

Selepas pilihan raya umum lalu, menurut PKR dan DAP, parti-parti dalam Pakatan Rakyat hanya mencalonkan Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja walaupun istana turut meminta lebih daripada satu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“PKR dan DAP merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor,” kata mereka.

Surat daripada istana berkaitan pencalonan menteri besar tahun lalu bertarikh 7 Mei, dua hari selepas pilihan raya umum, itu turut dilampirkan dalam kenyataan media yang diedarkan.

Istana minta 4 nama tahun lalu

Surat itu antaranya menyebut sultan Selangor menitahkan pemimpin PAS, PKR dan DAP bermesyuarat untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar.

Khalid petang tadi memohon meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor dan sultan menangguh menerimanya sehingga penggantinya ditentukan.

Sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon layak menggantikan Khalid.

Menurut setiausaha sulit sultan, ia sejajar dengan konvensyen yang diamalkan berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini.

Pendirian PAS berhubung pencalonan mereka setakat ini masih belum jelas.

Mereka sebelum ini mencadangkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di samping Azizah tetapi Pakatan akhirnya memutuskan menerima Azizah sahaja.

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS semalam bagaimanapun memutuskan menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan sultan Selangor dalam menentukan jawatan itu.- mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud