Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Malaysia Airlines yang didakwanya “menghukum” 6,000 kakitangan atas kelemahan pengurusan syarikat tersebut.
“Tidakkah anda terfikir tentang masa depan 6,000 keluarga yang terjejas? Bolehkan anda merenung perkara itu buat seketika?
"Adakah itu salah mereka? Adakah mereka malas? Adakah mereka tidak cekap? Salah siapa sebenarnya?
“Kenapa anda perlu hukum orang ini sedangkan orang yang melakukan jenayah (menyebabkan MAS rugi) diberikan pampasan sewajarnya?,” katanya dalam ucapan di Puchong hari ini.- mkini
'Tak waras melabur RM6b dalam syarikat rugi'
DAP Perak membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan suntikan dana RM6 bilion oleh Khazanah ke dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai satu bentuk pelaburan.
"Tiada rakyat Malaysia yang percaya apabila Najib menyifatkan suntikan RM6 bilion itu sebagai satu pelaburan dan bukan langkah menyelamat.
"Kenapa seorang pelabur yang waras mahu melabur dalam syarikat yang sudah kerugian RM4.3 bilion dalam masa tiga tahun lalu," kata ketua biro pembangunan ekonomi DAP, Ching Zhemin dalam kenyataannya.
Menurut Chong, jelas bahawa kerajaan cuba menyelamatkan MAS dan tidak membenarkannya untuk memfailkan kebankrapan seperti yang biasa dilakukan syarikat lain dalam situasi sama.
Beliau turut mengkritik cadangan MAS untuk memudahkan perpindahan kakitangan dan menyemak semula kontrak kakitangannya.
Menurut Chong, tindakan seperti itu, termasuk perlindungan dari segi legislatif ke tas MAS hanya boleh dibuat sekiranya syarikat tersebut memfailkan notis kebankrapan di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat 1965.
Menurut Chong, MAS masih boleh beroperasi di bawah pengurusan syarikat baru menggunakan nama yang sama sekiranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia membenarkannya berbuat demikian.