ARTIKEL SEBELUM

13/08/14

Exco PAS hadir mesyuarat hari ini

 

Tiga orang exco daripada PAS dilihat hadir pagi ini bagi menghadiri mesyuarat exco bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Azizi Shah.

Exco yang telah hadir ialah Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi. Manakala, seorang lagi exco Iskandar Samad masih belum kelihatan.

Ditanya mengenai gesaan PKR dan DAP supaya exco PAS memulaukan mesyuarat exco hari ini, Ahmad Yunus berkata, beliau hadir pagi ini demi rakyat dan atas arahan parti.

"Kita ambil amanah dari rakyat dan hadir atas arahan parti," katanya yang juga ADUN Sijangkang.

Ketika ditanya lagi, adakah beliau mengingkari arahan daripada Pakatan Yunus berkata: "Jangan tanya soalan yang provokasi, tak baik."

Sementara itu, seorang exco DAP Ean Yong Hian Wah berkata beliau kecewa dengan PAS yang hadir pada mesyuarat itu hari ini dengan menyifatkan parti itu "tidak menunjukkan semangat Pakatan Rakyat".

"Saya kecewa dengan PAS kerana mereka sertai mesyuarat hari ini. Ini menunjukkan mereka tidak ada semangat Pakatan Rakyat.

"Saya akan bekerja macam biasa. Saya juga minta supaya Pakatan Rakyat mesyuarat secepat mungkin untuk bincang perkara ini," katanya yang juga ADUN Sri Kembangan.

Gesa Khalid letak jawatan

Ean turut menggesa Khalid meletakkan jawatan segera memandangkan mandat yang diberi rakyat untuk menjadi menteri besar adalah kepada Pakatan Rakyat dan bukan kepada Khalid.

"Tan Sri Khalid perlu ingat, mandat yang diberi rakyat pada Mei tahun lalu adalah untuk Pakatan Rakyat dan bukan diri dia.

"Oleh itu saya meminta dia supaya meletakkan jawatan dengan segera dan biar rakyat yang tentukan," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kemudiannya.

Bagi seorang lagi Exco DAP, Ganabatirau Veraman, beliau juga hadir ke pejabatnya seperti biasa hari ini bagi menyelesaikan beberapa tugasan.

Sementara itu, ketika ditemui media, Exco DAP Datuk Teng Chang Khim pula berkata kehadirannya hari ini membuktikan kerajaan Selangor masih lagi wujud walaupun mendakwa telah "disabotaj" oleh seorang ADUN Bebas.

Katanya, beliau turut mempersoalkan kenyataan Khalid sebelum ini yang mengatakan Sultan Selangor telah memperkenan pemecatan enam exco daripada DAP dan PKR semalam.

"Kerajaan Pakatan masih ada. Ia masih ada tetapi telah disabotaj oleh ADUN Bebas Selangor. Kehadiran saya di sini membuktikan yang kami (Pakatan) masih ada di sini.

"Khalid selalu bercakap mengenai protokol. Saya cuma nak tahu, protokol yang mana Khalid guna yang mengatakan ia (pemecatan) disetujui oleh Sultan," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud