Dewan Ulama dilaporkan bersedia jika ditakdirkan keluar Pakatan Rakyat ekoran perbezaan pendapat mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sementara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pula berkata sebaliknya.
Bernama melaporkan, Dewan Ulama senada dengan mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik dan menyatakan, mengikut sejarah, mereka bersendirian selepas keluar BN dan bersama Semangat 46 sebelum ini.
"Seandainya kita (PAS) bersendirian kita terima. Ini sejarah-sejarah yang telah disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Laluan PAS ini bukan mudah.
"Keputusan Majlis Syura Ulama PAS telah membuat ketetapan mengenai keputusan itu.
"Ia merujuk kepada lunas-lunas perlembagaan semasa membuat keputusan itu," pemangku ketua dewan itu Datuk Ahmad Yakob itu dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menghadiri sebuah sambutan Aidilfitri di Kota Baharu.
Dua hari lalu, dalam kenyataan bersama Nik Abdul Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, Majlis Syura Ulama PAS menegaskan Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkir.
PKR semalam memecat Khalid berkuat kuasa serta merta setelah didakwa mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat memilih presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menggantikannya.
Bernama juga melaporkan, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata PAS mahu melihat isu itu diselesaikan dengan baik dan menafikan keadaan politik itu menyebabkan perpecahan dalaman gabungan pembangkang.
"Tidak seperti itu. Ini suatu yang memberi kematangan dalam berpolitik dan saya minta biarlah semuanya bertenang dan mencari jalan keluar terbaik.
"Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan pun ia ada masalah juga," katanya, seperti dilaporkan agensi berita nasional.
Bertenang, kata Mustafa
Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Mustafa sebagai menegaskan PAS akan terus bersama dengan Pakatan dan mengingatkan semua pemimpin dan anggotanya supaya bertenang menghadapi konflik itu.
"Kepimpinan PAS sedang berada di tengah-tengah isu ini dan menangani isu ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain," ujarnya ketika dihubungi akhbar web PAS itu sebentar tadi.-mk