ARTIKEL SEBELUM

22/08/14

Azmin: PR yakin rampas Pengkalan Kubor

Rekod prestasi Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Pas diyakini mampu memberi kemenangan kepada PR bagi merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor daripada tangan Umno.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan walaupun Umno berjaya mempertahankan kerusi itu sejak 2004, namun PR mempunyai peluang untuk mengambil alih kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi.

"Saya percaya dengan rekod dan prestasi kerajaan negeri Kelantan, kita boleh mengambil semula kerusi Pengkalan Kubor di Parlimen Tumpat yang diwakili Pas dan ada dua Dun lain dimenangi oleh Pas.

"Jadi saya tidak nampak ada halangan yang besar PR mengambil semula kerusi Pengkalan Kubor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), di sini, hari ini.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor menjadi kosong apabila penyandangnya dari BN, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Guanzhou, China pada Rabu lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan meninggal dunia akibat kanser.

Pada PRU13, Noor Zahidi menang besar dengan majoriti 1,763 undi walaupun terpaksa berdepan dengan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail.

Dalam pada itu, Azmin mengesahkan beliau sudah menemui Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bagi memaklumkan mengenai kerusi tersebut.

Bagaimanapun katanya, perbincangan terperinci akan dilakukan selepas kongres PKR selesai pada minggu depan.

"Kita akan mengadakan perbincangan secara khusus selepas selesainya kongres ini untuk melihat persiapan PRK.

Ketika ditanya tentang pertukaran kerusi itu, Azmin bagaimanapun berkata tiada perbincangan dilakukan mengenainya sehingga pertemuan dengan Abdul Hadi pada minggu depan.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud